Thursday 18 July 2013

Bab : Tentang Orang Yahudi yang Menyihir Nabi SAW.

( 1445 ) Diriwayatkan dari 'A'isyah r.a.: Seorang yahudi dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin A'sham pernah menyihir Rasulullah SAW. sehingga dikhayalkan kepada beliau bahawa beliau melakukan sesuatu, pada hal tidak melakukan sehingga pada suatu hari atau suatu malam, Rasulullah SAW. berdoa kemudian berdoa dan berdoa lagi. Setelah itu beliau bersabda, "Wahai 'A'isyah, tahukah kamu bahawa Allah telah memberiku petunjuk tentang ubatku? Yaitu, dua orang laki-laki mendatangiku. Seorang duduk di dekat kepalaku (Jibril a.s.), dan yang satu lagi duduk di dekat kakiku (Mikail a.s.). Kemudian yang duduk di dekat kepalaku berkata kepada yang duduk di dekat kakiku, atau yang duduk di dekat kakiku berkata kepada yang duduk di dekat kepalaku, 'Sakit apakah orang ini (maksudnya Rasulullah SAW.)?' Kata (kawannya), 'Dia disihir orang!' Katanya, Siapa yang menyikirnya?' Jawabnya, 'Labid bin A'sham!' Katanya, 'Dengan apa dia menyihirnya?'Jawabnya, 'Dengan rontokan rambut dan mayang kurma jantan kering.' Katanya, 'Di manakah itu?' Jawabnya, 'Di sumur Dzi Arwan."' Kemudian Rasulullah SAW. pergi ke sumur itu mencari barang-barang tersebut bersama sahabat-sahabat beliau. Kemudian beliau bersabda, "Wahai 'A'isyah, demi Allah, aku melihat airnya seperti larutan inai (kemerah-merahan), pohon kurma seperti kepala syaitan." Lalu aku bertanya kepada beliau, "Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak membakarnya saja?" Jawab beliau, "Tidak, kerana Allah telah menyembuhkan aku, dan aku tidak suka membalas kejahatan (membalas dendam) kepada orang. Oleh kerana itu, aku memerintahkannya agar dikubur saja sumur itu." (7: 14 - S.M.)