Friday 11 April 2014

Bab: 2 - Riba

( 954 ) Diriwayatkan dari Abu Nadhrah: Saya pernah bertanya kepada Ibn 'Umar dan Ibn Abbas r.a. tentang penukarang wang. Keduanya berpendapat tidak apa-apa. Lalu ketika saya duduk-duduk di rumah Abu Said Al-Khudri r.a., saya menanyakan kepadanya tentang penukaran wang ini. Abu Said Al-Khudri r.a. menjawab, "Apa pun yang ditukar dengan pembayaran lebih dari dua barang yang sejenis adalah riba." Saya tidak menyetujui jawaban Abu Said kerana bertentangan dengan pendapat Ibn Umar dan Ibn Abbas r.a. Abu Said Al-Khudri r.a. berkata, "Saya hanya menceritakan hadis yang saya dengar dari Rasulullah SAW. ketika pengurus kebun kurma beliau datang membawa satu gantang buah kurma yang baik (bermutu tinggi), sedangkan mutu kurma Nabi SAW. tidaklah baik. Lalu Nabi SAW. menanyainya, 'Dari manakah kamu mendapatkan kurma (baik) ini?' Dia menjawab, 'Saya pergi membawa dua gantang kurma (jelek), lalu saya menukarnya dengan satu gantang kurma (baik) ini; harga kurma (baik) ini di pasar sekian, dan harga kurma (jelek) ini sekian.' Kemudian Rasulullah SAW. bersabda, 'Celakalah kamu, kamu telah melakukan riba. Jika kamu mahu begitu, jual saja kurma kamu, kemudian wangnya itu kamu belikan kurma lain sesukamu!"' Abu Said berkata, "Apakah kurma ditukar dengan kurma itu lebih tepat menjadi riba, ataukah penukaran perak dengan perak?" Kemudian saya kembali mendatangi Ibn Umar, lalu dia melarang saya melakukannya, tetapi saya tidak mendatangi Ibn Abbas lagi. Abu Shahba menceritakan kepada Ibn Abbas tentang hal itu di Makkah, ternyata Ibn Abbas tidak menyukai hal itu. (5: 49 - S.M.)