Thursday 21 February 2013

Bab: Khutbah Nabi SAW.

( 409 ) Diriwayatkan dari Ibn 'Abbas r.a.: Dhimad datang ke Makkah. Dia adalah seorang suku Uzd Syanu'ah yang ahli mengubati orang gila dan kesurupan. Dia mendengar dari orang-orang pandir Makkah bahawa Muhammad itu gila. Lalu Dhimad berkata, "Andaikata saya melihat laki-laki ini, saya akan mengubatinya, barangkali Allah akan menyembuhkannya melalui tangan saya." Kemudian Dhimad berjumpa dengan beliau dan berkata, "Wahai Muhammad, saya biasa mengubati orang gila, dan Allah biasanya menyembuhkan siapa saja yang dikehendaki-Nya melalui tangan saya, maukah engkau saya ubati?" Lalu Rasulullah SAW. bersabda, "Sesungguhnya, segala puji itu hanya bagi Allah, Kami memuji dan memohon pertolongan kepada-Nya. Siapa saja yang diberi petunjuk oleh Allah, tak seorang pun dapat menyesatkannya, dan siapa yang disesatkan-Nya, tak seorang pun dapat memberinya petunjuk. Saya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Amma ba'd." Dhimad lalu berkata, "Ulangilah kata-kata engkau itu untuk saya!" Rasulullah SAW. mengulanginya sampai tiga kali. Dhimad berkata, "Saya telah mendengar perkataan ahli tenung, ahli sihir, dan penyair, tetapi saya belum pernah mendengar seperti perkataan engkau itu yang dapat menembus kedalaman dan gelombang lautan." Dhimad selanjutnya berkata, "Ulurkanlah tangan engkau, saya hendak berbaiat kepada engkau untuk memeluk agama Islam." Kemudian Dhimad berbaiat kepada beliau. Setelah itu, Rasulullah SAW. bersabda, "Apakah baiatmu ini untuk kaummu juga?" Dhimad menjawab, "Ya, juga untuk kaumku." Kemudian Rasulullah SAW. mengirimkan sepasukan tentera, lalu mereka melewati kaum Dhimad. Pemimpin pasukan itu berkata kepada tenteranya, "Apakah kalian merampas suatu barang dari kaum itu?"Seseorang dari mereka berkata, "Ya, saya mengambil tempat air mereka." Lalu pemimpin pasukan itu berkata, "Kembalikanlah kerana mereka itu adalah kaum Dhimad!" (3: 12 - S.M)