Monday 24 March 2014

Bab: 2 - Memberi Nama 'Abdullah kepada Bayi, lalu Mengusapnya dan Mendoakannya

( 1401 ) Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a.: Abu Thalhah pernah pergi (untuk suatu keperluan), sedangkan anaknya waktu itu sedang sakit, bahkan kemudian anaknya meninggal. Setelah Abu Thalhah kembali, dia bertanya kepada isterinya, "Bagaimana keadaan anakku?" Ummu Sulaim menjawab, "Dia lebih tenang daripada sebelumnya." (Abu Thalhah masih belum mengerti bahawa anaknya telah meninggal). Setelah Ummu Sulaim mempersiapkan makan malam kepadanya, Abu Thalhah makan. Setelah makan malam, dia menggauli isterinya. Setelah itu, Ummu Sulaim berkata, "Kebumikanlah anak itu (kerana dia telah meninggal)." Pada pagi harinya, Abu Thalhah pergi menghadap Rasulullah SAW. melaporkan perihal yang menimpanya. Lalu beliau bertanya, "Apakah tadi malam kamu menggauli isterimu?" Jawabnya, "Ya." Sabda beliau, "Wahai Allah, limpahkanlah berkah-Mu kepada suami isteri itu." Kemudian Ummu Sulaim melahirkan seorang anak. Setelah itu, Abu Thalhah berkata kepada ku, "Bawalah anak itu kepada Nabi SAW.!" Lalu aku membawanya kepada Nabi SAW. dengan membawa beberapa biji kurma dari ibunya. Setibanya di hadapan beliau, anak itu diambil oleh Nabi SAW. seraya bertanya, "Apakah kamu membawa sesuatu?" Aku menjawab, "Ya, beberapa biji kurma." Lalu kurma itu diambil oleh beliau, kemudian beliau mengunyahnya. Setelah lunak, dimasukkanlah kurma itu ke mulut si bayi sampai dimakannya, kemudian diberinya nama Abdullah. (6: 174 - 175 - S.M.)