Showing posts with label Kitab Zikir. Show all posts
Showing posts with label Kitab Zikir. Show all posts
Monday, 5 May 2014
Bab: Laki-Laki dan Wanita-Wanita yang Berzikir
( 1891 ) Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW. pernah berjalan di Kota Makkah. Lalu beliau melewati sebuah gunung bernama Gunung 'Jumdan'. Kemudian beliau bersabda, "Laluilah oleh kalian Jumdan ini, telah mendahului orang-orang yang tinggal sendirian." Tanya sahabat, "Siapakah orang-orang yang tinggal sendirian itu wahai Rasulullah?" Sabda beliau, "Yaitu orang-orang yang banyak berzikir, laki-laki dan perempuan." (8: 63 - S.M.)
Bab: Keutamaan Majlis Zikir, Doa, dan Istigfar
( 1890 ) Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi SAW.: Beliau bersabda, "Sesungguhnya, Allah Tabaraka wa Taala mempunyai malaikat-malaikat yang bertugas berkeliling mencari majlis-majlis zikir. Apabila mereka telah mendapatkan suatu majlis zikir, malaikat-malaikat itu duduk bersama mereka dan menaungi satu sama lainnya dengan sayap-sayap mereka sampai memenuhi ruang antara mereka dengan langit dunia ini. Setelah majlis itu bubar, malaikat-malaikat itu kembali lagi naik ke atas langit." Sabda beliau, "Lalu Allah bertanya kepada malaikat-malaikat itu, sedangkan Dia lebih mengetahui daripada mereka, 'Dari manakah kalian datang?' Mereka menjawab, 'Kami datang dari majlis hamba-hamba Engkau di bumi, yang bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid, dan memohon kepada Engkau.' Tanya Allah, 'Mereka memohon apa kepada-Ku?' Jawab malaikat, 'Mereka memohon syurga kepada Engkau.' Tanya Allah, 'Apakah mereka telah melihat syurga-Ku?' Jawab malaikat, 'Belum, wahai Tuhanku.' Allah berfirman, 'Bagaimanakah kiranya kalau mereka telah melihat syurga-Ku?' Malaikat itu berkata lagi, 'Mereka memohon perlindungan kepada Engkau.' Tanya Allah, 'Dari apakah mereka memoon perlindungan kepada-Ku?' Jawab mereka, 'Mereka memohon perlindungan-Mu dari api neraka-Mu wahai Tuhanku.' Tanya Allah, 'Apakah mereka telah melihat api neraka-Ku?' Jawab malaikat, 'Belum.' Tanya Allah, 'Bagaimana kiranya kalau mereka telah melihat api neraka-Ku?' Malaikat itu berkata lagi, 'Mereka juga memohon ampunan kepada Engkau.' Firman Allah, 'Aku telah mengamuni mereka, Aku telah memberi mereka apa yang mereka minta, dan Aku telah melindungi mereka dari api neraka."' Sabda Beliau, "Kemudian malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Tuhanku, di dalam majlis itu ada si Fulan, yaitu seorang hamba yang penuh dosa. Dia hanya lewat, lalu bertemu dengan majlis zikir itu, kemudian dia duduk bersama mereka."' Sabda beliau, "Lalu Allah berfirman, 'Aku telah mengampuni dosanya, mereka adalah orang-orang yang teman duduk mereka itu tidak akan ada yang celaka."' (8: 68 - S.M.)
Monday, 17 March 2014
Bab: Majlis Zikir Dibanggakan di Hadapan Malaikat
( 1889 ) Diriwayatkan dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a.: Mu'awiyah pernah mendapatkan suatu majlis di masjid, lalu dia bertanya, "Majlis apa ini?" Kata mereka, "Kami berkumpul dalam rangka berzikir kepada Allah 'Azza wa Jalla." Kata Muawiyah, "Demi Allah, apakah kalian benar-benar berkumpul hanya untuk maksud itu (berzikir)?" Jawab mereka, "Demi Allah, kami berkumpul hanya untuk maksud itu." Kata Mu'awiyah, "Sesungguhnya, aku tidak meminta kalian bersumpah untuk menuduh yang bukan-bukan, dan tak seorang pun yang paling sedikit mendapatkan hadis Rasulullah SAW. daripada aku. Rasulullah SAW. pernah melihat suatu majlis sahabat, lalu beliau bertanya, 'Majlis apakah ini?' Mereka menjawab, 'Kami berkumpul untuk berzikir kepada Allah dan memuji-Nya kerana telah menunjukkan kami kepada Islam serta melimpahkan anugerah-Nya kepada kami.' Beliau bersabda, 'Demi Allah, apakah kalian berkumpul hanya untuk maksud itu?' Jawab mereka, 'Demi Allah, kami berkumpul hanya untuk maksud itu.' Sabda beliau, 'Sesungguhnya, aku tidak akan meminta mu bersumpah dengan tuduhan yang bukan-bukan, hanya saja, Jibril a.s. datang kepadaku memberitahukan bahawa Allah 'Azza wa Jalla membanggakan kalian di hadapan malaikat."' (8: 72 - S.M.)
Thursday, 6 March 2014
Bab: Majlis Pengajian Al-Quran
( 1888 ) Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW. bersabda, "Barang siapa melapangkan seorang Mukmin dari suatu kesusahan di dunia, Allah melapangkan kesusahannya pada hari kiamat. Barang siapa mempermudah seseorang yang dalam kesulitan, Allah memudahkan baginya di dunia dan akhirat. Allah senantiasa menolong hamba-Nya, selagi hamba itu menolong saudaranya. Barang siapa melalui suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah mudahkan baginya jalan ke syurga. Dan setiap kaum yang berkumpul dalam suatu tempat-tempat ibadah untuk membaca kitab Allah dan mempelajarinya, maka Allah menurunkannya ketenangan dan mereka diselubungi rahmat. Dan mereka dikerumuni malaikat serta Allah menyebut-nyebut mereka dengan bangga kepada makhluk-makhluk di sisi-Nya. Barang siapa lalai terhadap amal kebaikannya, dia tidak akan dapat menebusnya dengan pangkat kebangsawanannya (nasabnya)." (8: 71 - S.M.)
Sunday, 26 January 2014
Bab: Senantiasa Berzikir
( 1887 ) Diriwayatkan dari Abu Utsman Al-Nahdi, dari Hanzhalah Al-Usayyidi, salah seorang juru tulis Rasulullah SAW.: Aku pernah bertemu dengan Abu Bakar Al-Shiddiq r.a., lalu dia berkata, "Apa khabar wahai Hanzhalah?" Aku menjawab, "Hanzhalah telah munafik." Kata Abu Bakar, "Subhanallah, apa kata mu?" Aku berkata, "Di sisi Rasulullah SAW., kita diingatkan akan neraka dan syurga sehingga seolah-olah kita melihatnya dengan mata kepala kita sendiri. Setelah kita pergi dari sisi beliau, kita bergaul dengan isteri, anak dan harta sehingga kita dibuat lupa kerananya." Kata Abu Bakar, "Demi Allah kami pun mengalami hal seperti itu." Lalu berangkatlah aku bersama Abu Bakar Al-Shiddiq r.a. menghadap Rasulullah SAW. Kata ku, "Wahai Rasulullah, Hanzhalah telah munafik." Rasulullah SAW. bertanya, "Apa maksud mu itu?" Kata ku, "Wahai Rasulullah, kami berada di sisi engkau, kami selalu diingatkan akan neraka dan syurga sehingga seolah-oleh kami melihatnya dengan kedua mata kapala kami sendiri. Setelah kami pulang, kami bergaul dengan isteri, anak dan harta sehingga kami sering lupa kerananya." Rasulullah SAW. bersabda, "Demi Zat yang jiwa ku berada di tangan (kekuasaan)-Nya, andaikan kamu selalu dalam keadaan seperti itu waktu berada di sisi ku dalam berzikir, tentu malaikat-malaikat akan berjabat tengan dengan mu di tempat-tempat tidur mu, bahkan dijalanan. Akan tetapi, wahai Hanzhalah, memang sewaktu-waktu ingat dan sewaktu-waktu tidak ingat." Beliau mengucapkannya tiga kali. (8: 94 - 95 - S.M.)
Thursday, 26 December 2013
Bab: Anjuran Senantiasa Berzikir dan Mendekatkan Diri Kepada Allah
( 1886 ) Diriwayatkan dair Abu Hurairah r.a.: Rasulullah SAW. bersabda, "Allah 'Azza wa Jalla berfirman, 'Aku menurut (bergantung pada) dugaan hamba-Ku, dan Aku bersama dia ketika dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku di dalam hatinya, Aku ingat pula kepadanya di dalam hati-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku di tengah-tengah khalayak ramai, Aku ingat pula kepadanya di tengah-tengah khalayak yang lebih baik dari mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejauh satu jengkal, Aku mendekat kepadanya sejauh satu hasta. Jika dia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Dan jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan biasa, maka Aku mendatanginya dengan berlari-lari."' (8: 62 - 63 - S.M.)
Subscribe to:
Posts (Atom)